26 November 2010

Senja Berulam Sepi

Kejadian ini terjadi pada suatu senja, sekitar tahun 1995 di satu kawasan di dalam daerah Bentong. Kami sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Di dalam remang-remang senja, suasana kiri kanan jalan sememangnya sepi dan sunyi. Cuma pepohon getah berbalam-balam berdiri kaku sepanjang jalan raya yang kami lalui.....

Terkadang-kadang, kelihatan kilang papan tersergam gah di tepi jalan. Sehingglah kami tiba di satu kawasan. Dari jauh bertentangan arah kami, kelihatan seorang lelaki berjalan kaki seorang diri di atas bahu jalan. Lelaki itu memakai seluar khaki, dan berbaju oren.

Saya antara endah tak endah dengan susuk tubuh lelaki itu. Jam ketika itu menunjukkan ke angka 7.30 malam. Sehinggalah kenderaan kami menghampiri nya, saya tersentak, saya terperasan, pelik sungguh, lelaki itu tidak bermuka, mukanya licin seperti pinggan. Kenderaan kami terus meninggalkan lelaki misteri itu, jauh dibelakang. Saya terdiam sebentar, antara percaya dan tidak.

Perlahan-lahan sepupu saya bersuara kepada ibunya, "mak, orang lelaki tu tak de muka ke?" pantas sahaja ibunya menyanggah, "hang ni mulut cabul!!!" Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang terlihat. Sehinga kini lelaki itu masih menjadi misteri kepada saya. Namun apalah anehnya lelaki itu, jika dibandingkan dengan alam cakerawala ciptaan yang berputar sendiri pada orbitnya...

23 November 2010

Gadis Tanpa Kepala Punca Pemandu Bas Pecut Laju

Kalau sebelumnya Rosnah seringkali tergelak kecil tidak percaya apabila mendengar kawan-kawannya bercerita soal misteri. Tetapi apa yang dialaminya malam minggu lalu, benar-benar menyedarkan dirinya bahawa makhluk halus memang wujud di alam ini.

Rosnah masih ingat lagi, malam itu syarikat tempatnya bekerja menganjurkan jamuan makan malam tahunan, di salah sebuah hotel terkemuka di tengah-tengah ibu kota. Sungguhpun majlis tamat sebelum menjelang tengah malam, namun disebabkan hujan turun dengan lebatnya, Rosnah nyaris-nyaris tertinggal bas untuk pulang ke rumah. Bersama-sama Mona yang kebetulan mendiami kawasan perumahan berhampiran, mereka duduk di belakang perut bas kerana tahu-tahu ajelah kalau perkhidmatan bas terakhir, pasti penuh penumpang.
Selepas membayar tambang kepada konduktor bas, mereka berborak-borak kosong. Bas pula laju memecut keheningan jalan raya. Hanya sesekali berhenti menurunkan penumpang apabila loceng dibunyikan. Sedang asyik Rosnah dan Mona bersembang, pemandu bas tiba-tiba menekan brek kecemasan.

Kedengaran pemandu merungut-rungut marah pada sesuatu yang mereka sendiri tidak fahami butir bicaranya. Suasana menjadi hingar-bingar, ada yang meluru ke hadapan untuk melihat apa yang terjadi. Tidak kurang juga yang berpandang sesama sendiri, tertanya-tanya.

“Bertenang, bertenang... jangan kecoh-kecoh. Bukannya kita langgar orang tapi ada masalah teknikal sikit, tak de apa-apa,” kata konduktor bas sambil meminta beberapa pemuda yang berada di belakang tempat duduk pemandu, kembali ke tempat masing-masing.

“Apa hal bang, tayar pancit ke?” Tanya pula seorang gadis India kepada konduktor tadi. Rosnah yang tidak senang duduk mula berdiri, meninjau-ninjau keluar tingkap untuk melihat sekeliling. Tetapi keadaan lampu jalan yang agak malap, membataskan penglihatannya.

Sambil mengangkat bahu dan menggeleng-gelengkan kepala, konduktor tersebut kembali ke hadapan semula.

“Eh Mona, kau agak-agak bas ni kenapa ha? Kalau nak kata dia langgar orang, mesti kita dengar jeritan, tapi entahlah, kan...” kata Rosnah cuba turun tetapi ditegah oleh Mona.

“Tak payahlah kita pulak nak turun, kan ke hujan masih renyai-renyai. Biarkan mereka yang menyelesaikan, apa pun masalah yang berlaku. Lagipun tak manis, kita orang perempuan menyibuk tak tentu pasal, malulah...,” ujar Mona berulang-kali.

Belum sempat Rosnah menyampuk kata-kata Mona, bas kembali bergerak tanpa sebarang amaran, sehinggakan dua tiga orang penumpang yang masih berdiri terhuyung-hayang mencari tempat duduk. Dengan nada menjerit, pemandu bas meminta semua penumpang menutup tingkap jika ada yang terbuka, atau tidak bertutup rapat.

“Cepat sikit...,” ujarnya dengan suara sedikit tenggelam-timbul kerana hujan lebat turun secara tiba-tiba. Rosnah mula rasa tidak sedap hati. Kerana tidak mahu menakutkan Mona, dia hanya mendiamkan diri. Dipandangnya wajah gadis India yang duduk berhampiran dengannya tetapi sepantas itu juga, Rosnah memalingkan mukanya ke hadapan.

Kelu lidahnya hendak berkata-kata, hinggakan mahu mencuit tangan Mona pun dia tidak terdaya. Dalam hatinya hanya mampu membaca, beberapa potong ayat suci yang sempat terlintas di hati, itu pun ada yang lintang-pukang. Sambil berdoa agar bas cepat sampai, Rosnah sebenarnya tidak pasti apakah yang perlu dilakukannya sekarang.

Khayalannya terhenti apabila Mona mengoncang-goncangkan bahunya sambil memberi isyarat, mereka sudah hampir sampai ke hentian seterusnya iaitu pondok bas di hadapan taman perumahan mereka. Tetapi peliknya walau berulang kali Mona membunyikan loceng, pemandu tetap meneruskan perjalanan.

“Bang... berhentikanlah bas! Rumah kami dah terlepas ni, tak dengar ke?” Kata Mona dengan nada separuh marah. Tidak mempedulikan permintaan Mona, bas terus dipandu laju sehinggalah tidak lama kemudian, pemandu membelokkan bas masuk ke dalam kawasan balai polis.

Apa lagi, sepantas kilat dia membuka pintu bas dan meluru ke perut balai diikuti beberapa penumpang lain. Rosnah yang sedari tadi seperti dipukau, turut mengambil tindakan serupa dengan menarik sekuat hati tangan Mona agar menurutinya.

Beberapa anggota polis yang masih bertugas, keluar mendapatkan mereka dan setelah pemandu dan konduktor menceritakan segala-galanya, barulah Mona tahu keadaan sebenar. Itu pun puas Rosnah mengiakan apa yang diperkatakan, sebagai bukti dia turut melihat kejadian tersebut.

Sah! Seperti mana yang Rosnah nampak, memang gadis India itu tidak berkepala dan itulah puncanya pemandu bas melakukan brek kecemasan. Ini kerana dia sendiri tergamam apabila kepala gadis itu, melayang-layang di hadapan cermin hadapan bas. Peliknya apabila diperiksa, gadis India itu tiada di tempatnya, tetapi bas tersebut berbau busuk dan hanyir...

20 November 2010

Kereta Misteri Yang Masih Misteri

19 November 2010
 
Polis mengalami kesukaran mengesan pemilik kereta apabila ia ditemui dalam keadaan terbalik dan terbenam hampir separuh di dalam lumpur. Semua 6 bahagian cerminya telah tiada (pecah?), bahagian enjin tenggelam di dalam lumpur malah nombor pendaftaran juga telah tiada.
Tiada sebarang tanda yang ditemui bagi mengesan pemiliknya, kecuali kereta terbabit diangkat dan dilakukan pemeriksaan teliti.
 
Di masa sama, kebimbangan samada adakah mangsa dalam kes itu terpaksa didahulukan dengan melakukan operasi mencari dan menyelamat. Anjing dari Unit K-9 PDRM turut menyusuri sehingga atas bukit di mana laluan lama Bentong-Gombak dipercayai kereta ini terjatuh. Dan akhirnya, menjelang tengahari, disahkan tiada mangsa terbabit dalam kes ini setelah pencarian dari malam tadi, tidak menemui sebarang petanda. Kereta (Kia Optima) ini difahamkan dilaporkan hilang oleh pemiliknya pada 21 Oktober lalu di Sg. Besi, Kuala Lumpur.
 
Kerja-kerja untuk mengangkat kereta ini atas lebuhraya, menggunakan dua buah kemablik.
Dan, kenderaan dari arah Pantai Timur untuk ke Kuala Lumpur terpaksa melalui hanya satu lorong lebuhraya,menyebabkan kesesakan lebih 5km sehingga Bukit Tinggi Pahang. Laluan kontra juga terpaksa dibuka pada laluan arah Timur untuk kenderaan ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun,usaha untuk mengangkat kereta ini tidak berjaya.
 
Apabila di pertengahan, dua buah kembalik yang mengangkatnya tiba-tiba mengalami masalah mekanikal dan kerosakan pada sistem hidrolik.Ketika itu, kereta ini hanya beberapa meter sebelum sampai di tepi tembok lebuhraya. Ketika kembalik kedua membantu, ia turut menerima nasib sama apabila tiba-tiba mengalami masalah mekanikal pula.Akhirnya, kereta misteri ini terpaksa di”semadikan” semula di bawah jambatan tersebut!

03 November 2010

Perempuan Tua

"Mak Aziz balik dulu Mak", "Aziz..... Mak kata jangan balik dah malam ni, pagi esok jerla balik dah pukul sembilan ni.".

"Tak boleh Mak Aziz kena balik malam ni juga, banyak kerja kat office tu yang tergendala mak...". "Aziz, besoklah balik , bukan apa mak melarang ni, mak risau kamu balik malam-malam ni pulak tu sesorang, bukan dekat Kubang Kerian ker KL tu".

"Tak apalah Mak, Aziz balik dulu assalammualaikum" lantas Aziz mengucup tangan ibunya dan terus memasuki perut kereta Honda yang baru seminggu dimilikinya.

"Emmmmm.... Boring betullah.." rungut Aziz seorang diri lantas menutup gelombang radio ERA setelah boring mendengar Jamal Jamalludin berceloteh.

Dijelingnya jam yang terpahat pada keretanya, detik jam 2 pagi, kini hampir 5 jam Aziz memandu, naik kematu buntutnya. Ditolehnya kiri dan kanan, lebuhraya semangkin lengang mungkin kerana masing-masing sudah sampai ke destinasi yg ditujui setelah seminggu menyambut hari raya korban dikampung

"Emmmmm...baru sampai lebuhraya Karak dah dekat gak ni.." tiba-tiba Azizn terkedu, peluh mula memercik, bulu romanya berdiri, dikepalanya mula berligar-ligar kata-kata temannya " kau kalau balik Kelantan tu kena hati-hati jangan balik malam-malam sangat, bahaya....tambah-tambah lagi area lebuhraya Karak tu kemalangan selalu terjadi sebab jumpa makhluk ghaib!" namun kata-kata temannya itu ditolakya jauh-jauh, didirikan semangatnya.

"Aaaarghhhh........ngarut jer...mana ader hantu .... sekarang ni zaman internet jer,sekarang ni hantu semua tinggal dlm hutan", kata Aziz keseorang mententeramkan hatinya yang tidak tenteram.Namun akhirnya tenteram juga setelah Aziz membaca ayat-ayat suci al-quran.

Aziz masih di lebuhraya Karak ditekannya pedal minyak seperti biasa, Aziz memang selalu berhati-hati,tiba-tiba jauh dihadapan, Aziz terpandang kelibat objek putih yang seolah-olah terpacak ditepi jalan, peluh nya mula memercik kembali "hantu ker?", soal hatinya."Argh...bukan!" dikuatkan semangatnya.
Semangkin hampir dan semangkin jelas pandangan Aziz terhadap objek itu,rupa-rupanya seorang perempuan tua berbaju putih berkain batik dan bertudung putih berdiri ditepi jalan."Orang rupanya ingatkan hantu". Begitu celupar mulut Aziz berkata-kata, hilang perasaan takut Aziz dan kini diselubungi pula dengan perasan kesihan pula.

Segera Aziz memberhentikan keretanya disisi perempuan tua itu dan mempelawa menumpangkan perempuan tua tersebut. "Mak cik nak kemana ni biar saya tumpangkan, makcik naiklah,bahaya sesorang malam-malam ni." Segera Aziz membuka pintu disebelahnya tanpa berkata apa-apa perempuan tua tersebut menudingkan jarinya kehadapan menandakan bahawa dia ingin turun dihadapan. Kemudian perempuan tua tersebut memasuki dan terus menutup pintu kereta."Terima kasih nak", kata permpuan tua itu dengan suara yang garau dan langsung tidak memandang muka Aziz sebaliknya memalingkan mukanya keluar tingkap.Perasaan takut Aziz kembali lagi apabila mendengar suara perempuan tua tersebut garau sungguh menyeramkam!

"Aapaaa....mak cik buat seeeeseorang kat tapi jalan ni, baaaahaaaaayaaaaa mak cik, malam pulak tu",kata aziz terketar-ketar.

"Sebenarnya, mak cik pergi cuci darah anak mak cik yang meninggal akibat kemalangan ditempat mak cik berdiri tadi". Kata perempuan tua itu lagi tetapi masih tidak memandang muka Aziz. "Aaaapa darahhhhh!!!!!!!!" jerit Aziz terkejut, peluhnya semankin banyak memercik dan mengeletar anggota badannya tetapi terpaksa Aziz melawan ketakutannya agar dia tidak terbabas memandu kerana terkejut dan akan melibatkan kemalangan pula.

"Ye,anak mak cik mati sewaktu kemalangan pagi tadi, jadi tak baik kita biarkan darah orang yang mati kering begitu saja, nanti jilat di langsuir",kata perempuan tua itu dengan suaranya yang garau.Semangkin kuat anggota badan Aziz mengeletar ditolehnya kearah perempuan tua
itu tetapi perempuan tua itu memalingkan mukanya.

Aziz mengeletar tak terlintas dikepalanya utk membaca ayat-ayat suci al-quran kerana terlalu takut. Tiba-tiba perempuan tua itu menyuruh Azizi berhenti di satu selekoh. “Anak, mak cik nak turun kat situ. Rumah makcik kat bawah tu je”. Azizi cuba memandang ke arah yang di tunjukkan oleh perempuan tua itu namun apa yang dia lihat adalah hutan belukar yang gelap dan cerun. Semakin takutlah Aziz apabila tiada sebuah rumah yang terdapat di kawasan yang di beritahu oleh perempuan tua itu.
“Terima kasih nak,kerana menumpangkan makcik hingga sampai rumah.Ada juga anak muda yang sudi menolong makcik ini.” Azizi hanya senyum dan mengangguk dalam ketakutan. Setelah perempuan tua itu turun dari keretanya,dia cuba mengerling dari sisi cerminya namun tiada sesiapa pun yang ada! Lantas Aziz memecut keretanya dan sejak daripada itu dia tidak akan memandu lagi lewat malam apabila pulang daripada kampungnya.

31 October 2010

Misteri Selekoh

Hari dah menjelang tengah malam, Ikmal dan Amir masih memandu dalam keadan hujan yang renyai-renyai melalui jalan yang penuh dengan selekoh merbahaya dari Pekan Karak ke kampung kawannya yang terletak di Felda Sg. Kemahal berdekatan dengan pekan Triang. Hajat di hati untuk membuat kejutan terhadap rakan mereka di kampung tersebut yang akan melangsungkan perkahwinannya pada keesokan harinya. Datang awal untuk membantu apa yang patut.

“Betul ke jalan ni Ikmal?”, tanya Amir.  “Betullah aku ikut je map yang Nizam bagi ni, kalau kita ikut highway Temerloh jauh dalam sejam, kena bayar tol pulak tu” jawab Ikamal.

“Ishh tak pernah seumur hidup aku ikut jalan kona-kona macam ni, dah la kereta sebijik pun takde, hutan sepanjang jalan”,rungut Amir.

Setelah membisu membiarkan Ikmal melalui beberapa selekoh yang ada, tiba-tiba Amir berkata perlahan, “Ikmal, bukan kita dah lalu ke selekoh tajam ni tadi?” Tiba-tiba mereka berdua terdiam, tambahan pula terdapat kabus akibat dari cuaca sejuk malam itu. Dengan seberapa segera Ikmal terus menukar siaran Radio Hit.FM nya ke radio IKIM FM untuk mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran. Bulu tengkok masing-masing meremang apabila memikirkan jalan tersebut telah dibina pada zaman jepun dahulu disebabkan strukturnya yang bengkang-bengkok. Masing-masing berdiam hinggalah mereka tiba ke rumah kawan mereka kira-kira setengah jam kemudian.

* Jalan ini adalah jalan alternatif jika laluan Karak Temerloh banjir. Yang menarik pada km 35 dari pekan Karak, anda akan melalui 2 selekoh yang sebijik sama. Selekoh yang paling tajam disepanjang jalan ini dan agak mendaki. Kalau lori lalu, kita kena berhenti dulu untuk bagi laluan kepadanya. Sejarah mengenai jalan ini kurang jelas pada saya sebab orang kata jalan ni jalan lama, masa zaman jepun dahulu.

26 October 2010

Latar Belakang Lebuhraya Karak

Mungkin ada yang penah dengar, katanya Lebuhraya Karak berhantu, keraslah, banyak kemalanganlah. Sudah tentu cerita-cerita begini tidak timbul begitu sahaja, kenapa Lebuhraya Karak? Dalam banyak-banyak lebuhraya kat Malaysia ni, kenapa Lebuhraya Karak yang berhantu?
  1. Antara sebabnya adalah keadaan jalan di Lebuhraya Karak itu sendiri, keadaan jalannya yang berkabus menimbulkan suasana seram terutama di waktu malam.

  2. Kedua, adalah kerana banyak berlaku kemalangan di sana, tak kisahlah kerana kabus ataupun kerana tanah runtuh. Dan keadaan jalan itu sendiri menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan di sana. Antara kemalangan yang paling popular adalah pada 20 Januari 1990, di mana 17 orang terbunuh termasuk 11 orang anggota FRU bilamana berlaku pertembungan diantara kenderaan FRU dengan sebuah lori, sebuah bas dan 10 biji kereta
Lebuhraya karak mula dibina pada 1970 dan mula dibuka kepada orang ramai pada 1977. Lebuhraya ini menghubungkan Kuala Lumpur dengan Karak dan jaraknya lebih kurang 60.0 km. Lebuhraya ini mempunyai sepasang terowong di kawasan peranginan terkenal iaitu Genting Highland.

21 October 2010

Makhluk Aneh Makan Orang

Sekitar 1984 di perkarangan Lebuhraya Karak. Berlaku satu tragedi ngeri kepada sebuah keluarga berbangsa Cina. Dipercayai si suami  mati tanpa kepala dan dadanya terbelah terkopak. Isi badan telah di robek kerana di makan. Yang menghairan ialah tiada setitik darah pun yang tinggal ianya seperti telah disedut hingga tiada meninggalkan kesan darah setitik sekali pun.

Ketika polis peronda tiba di tempat kejadian,si isteri bersama-sama anaknya berada di dalam kereta dengan selamat.Apabila di soal siasat,si isteri memberitahu bahawa si suami (mangsa) berpesan agar tidak keluar dari kereta walau apa sekalipun yang berlaku. Hanya membuka apabila si suami sendiri yang mengetuk pintu menyuruh membukanya.

Kes ini disiasat. Spesis yang dikenali berbentuk kelawar besar setinggi manusia dan bersayap.Gambar mayat tak berkepala ada dalam fail simpanan polis dan kes ini di akta bawah X-File (Unsolved mistery)

*Cerita ni ada berbagai versi iaitu cerita seakan sama tapi lokasi dan jalan cerita berubah-rubah. Ada yang kata bukan polis tapi askar yang jumpa keluarga tu.

16 October 2010

Ponti...!!!

Terjadi pada seorang pakcik ini. Dia ni seorang driver lori. Kira-kira jam 2-3 pagi dia memandu lori macam biasa nak menghantar barang dari Kl ke Temerloh. Semasa dia dalam perjalanan itu dia pelik sebab setiap kali dia berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan mesti ada yang bagi lampu.

Dia wat  bodoh je la.Dengan tanggapan ada polis buat roodblock kot. Pastu masa dia tengah drive,  ada orang bagi lampu sambil bagi isyarat tangan " tunjuk atas ".

Tidak lama kemudian sebuah kereta lagi buat isyarat yang sama. Baru lah dia ni teringat...atas?? Atas bumbung kot? Dia pun cuba la adjust cermin sisi tepi manalah tau nampak kat bahagian atas bumbung.

Fulamak!!!!! Nampak cik ponti tengah lepak kat atas bumbung lori dia!! Apa lagi berpeluh-peluh pakcik itu.Dengan mulut terkumat kamit pakcik itu pun membaca ayat-ayat suci al-quran. Tidak lama kemudian dia nampak ada lembaga putih terbang.

Seminggu selepas itu pak cik itu demam! Gara-gara cik ponti bertenggek atas bumbung lori dia

15 October 2010

Roh Bas Masih Bernyawa

Pernah terjadi dekat aku ngan ayah aku sendiri. Pada tahun 1997, pakcik aku baru sahaja membeli sebuah superbike. Tapi dia terpaksa bertugas di Jepun selama 3 bulan. Oleh kerena itu, dia meminta ayahku untuk ambil superbikenya untuk dibawa pulang ke Kelantan.

Aku ngan ayah ku pergi ke KL dengan bas, dan pulang dengan menaiki superbike tu melalui jalan Karak. Sampai sahaja di jalan tersebut, tiba-tiba motor superbike yang baru di beli tak sampai seminggu boleh mati dan x boleh bergerak langsung. Masa itu jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam.

Ayahku bersandar di divider sambil menghidupkan rokok Lucky Strikenya dan berkata padaku, "Sinilah tempatnya bas terjunam dan ramai yang meninggal dunia tu”, sambil menujukkan aku tempat tersebut di belakangnya. Mendengar kata-kata ayahku, rasanya macam dah boleh dikutip jantungku yang dah rasa macam gugur ni.

Lepas habis hisap rokok, ayahku pergi ke motor, dan berkata "Aku cuma lalu sahaja dikawasan ini. Tak ada niat nak gangu dan mengacau. Aku tak kacau kau orang, jadi jangan kacau aku". Pada mulanya aku heran juga, dengan siapa ayahku bercakap. Lepas saja ayahku cakap begitu, terus motor berjaya dihidupkan. Apa lagi teruslah kita orang memecut balik. Sempat aku toleh kebelakang, aku lihat seperti bayangan bas tersebut baru sahaja nak terbabas kedalam gaung tersebut.

14 October 2010

Tentera Komunis Di Lebuhraya Karak ???

Pernah jugak dengar cerita pasal ada orang kena makan dekat Karak highway ini. Masa ini rasanya lebuh raya Karak itu baru siap dibina. Rasanya dalam awal 80an dan kawasan hutan dekat situ disyaki masih ada komunis. Jadi, kereta cuma boleh melalui lebuhraya itu dari pukul 7pagi hingga 6 petang macam itulah dan setiap kereta yang masuk highway, mesti keluar ke dalam masa tertentu.Kalau tidak muncul, satu trak askar akan menyusul sebab takut kereta itu kena serang degan komunis.

Kononnya, ditakdirkan couple ini masuk waktu hampir highway nak tutup dan dah dipesankan oleh penjaga highway itu supaya jagan keluar dari kenderaan walau apa pun terjadi takut-takut nanti ada trak askar menyusul.Masa itu kan mana ada handphone.Tapi tiba tengah-tengah jalan, tepi hutan secara tiba-tiba kereta  mereka berhenti. Jadi, si suami ini pun turun untuk periksa di bahagian enjin. Dibukanya hood kereta di bahagian depan, si isteri tetap dalam kereta tak nampak apa-apa sebab gelap dan sebab pandangannya terhalang oleh hood kereta itu.

Setelah agak lama, tiba-tiba ada trak askar tiba di sebelah kereta. Askar tadi datang dan terperanjat sebab kat depan kereta itu tadi ada bahagian pinggang ke atas sahaja tubuh si suami. Si isteri terselamat sebab ada dalam kereta.Yang masih musykil, apakah yang telah membaham suami itu? Sebab isteri dia pun tak rasa apa-apa dan tak dengar apa-apa pun.

13 October 2010

Misteri Volkswagen Kuning

Kisah sebuah kereta Volkswagen kuning yang dianggap berhantu, yang sering mengganggu perjalanan di sekitar lebuhraya Jelapang. Hantu Volkswagen kuning ini mula menganggu kenderaan di jalan raya sejak tahun 1956, tetapi tidak ketara dan orang ramai masih belum menganggap ia sesuatu yang mengaibkan.

Tetapi sejak lebuhraya Utara Selatan dibina merentasi kawasan yang dinamakan Jelapang, sejak itulah hantu Volkswagen kuning semakin ketara muncul dengan mengganggu kenderaan yang lalu lalang di situ. Puncanya dipercayai bermula dari sebuah kisah seorang isteri curang yang telah membunuh suaminya dengan kejam dan kemudian merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya.

Sang suami mati sambil menyimpan rasa dendam yang membara untuk memiliki semula Volkswagen kuning tersebut. Kenyataannya, jika benar hantu Volkswagen kuning ini wujud dan pernah dilihat orang, maka itu adalah jin (keturunan iblis yang bergelar jembalang), bukan si suami malang yang mati dibunuh kejam.

Volkswagen ini akan muncul secara tiba-tiba dan sekiranya pemandu memotong kereta tersebut , ia akan berada di hadapan secara mengejut.Dipercayai , kemalangan berlaku disebabkan gangguan Volkswagen kuning.

12 October 2010

Disakat Hantu Penanggal

Kala itu hujan renyai-renyai membasahi bumi. Kedinginan malam mulai terasa  hingga menusuk ke tulang hitam. Halil melihat jam tangannya. Ah! Sudah lewat jam 12.00 malam. Kalaulah bukan kerana ada hal mustahak, tak kuasa dia meredah laluan Karak Highway tu malam-malam buta. Kalau naik kereta tak apalah juga, ni tunggang motorsikal buruk! Mana tau nasibnya tak baik,  motornya tiba-tiba aje buat hal ataupun....?? Siapa yang susah?

Halil tidak sanggup lagi untuk membayangkan segala kemungkinan yang bakal dihadapi. Apatah lagi, bila mengenangkan pelbagai cerita seram mengenai laluan Karak Highway yang pernah didengarinya. Kisah hantu penanggal yang dikatakan suka mengganggu penunggang motorsikal tiba-tiba sahaja bermain di kotak fikirannya.
Beberapa orang pengguna laluan itu pernah terserempak dengan lembaga itu! Saat itu juga Halil mula terasa seperti ada orang membonceng di belakangnya. Serta-merta darahnya menyirap. Halil terus mengamati menerusi cermin sisi motorsikalnya namun dia tidak melihat apa-apa pun melainkan kegelapan. Halil cuba mengawal perasaan cemasnya. Sedaya upaya juga dia cuba menepis perasaan takut dari hati. Halil yakin apa yang dialaminya ada hubungkait dengan permainan syaitan. Halil terus memecut laju motorsikal yang ditungganginya itu. Dia ingin segera sampai ke destinasinya.
Dalam keadaan yang tidak menyenangkan itu sekali lagi Halil mula terasa seperti ada bayang-bayang manusia bergerak di belakangnya. Tanpa berlengah dia terus membaca ayat-ayat suci untuk menghalang niat jahat makhluk halus itu dari terus menganggunya. Namun semakin dibaca, semakin kuat pula terasa debaran di dadanya. Halil dapat merasakan dirinya seperti berada di awang-awangan. Sah! Syaitan itu lebih 'kuat' daripadanya Mungkin juga bacaan ayat sucinya itu tidak berkesan kerana tidak sempurna.

Halil dapat rasakan dia tidak mampu lagi memandu motorsikalnya itu dan terus memberhentikannya secara mengejut. Lebih baik dia tenangkan fikiran daripada terlibat dalam kemalangan. Dia cuba pusatkan fikirannya untuk membaca ayat-ayat suci dengan memejamkan matanya. Namun terasa bacaannya itu memang tidak teratur. Entah macamana pula Halil terbau satu bau yang teramat busuk, seolah terlalu hampir dengan hidungnya. Saat itu juga, Halil seolah ingin menjerit bila dia dapat melihat dengan jelas 'benda' yang berada di depan matanya itu. Hantu penanggal!!!

Dia dapat melihat ada darah keluar membuak-buak bersama ulat dan lelehan lendir daripada tubuh tanpa kepala! Bila dia memandang ke arah 'handle' motorsikalnya, sekali lagi hampir dia pengsan bila mendapati ada satu kepala sedang bertenggek di atas 'handle' tersebut. Paling mengerikan, segala urat dan ususnya itu berlambak di dalam raga motorsikalnya. Halil sudah tidak dapat mengawal perasaan takutnya. Bacaan ayat-ayat suci makin bercelaru. Keimanannya turut tergugat, tapi dia tidak ada pilihan lain selain dari melihatnya. Tidak lama kemudian, tubuh tanpa kepala itutiba-tiba lenyap. Namun kepala itu masih ada di depannya!

Lidah yang terjelir dari mulutnya mengeluarkan cecair putih yang menjijikkan. Lidah itu sekejap terjelir dan bergulung. Dari lubang mata yang terlopong, Halil juga dapat melihat deraian ulat yang jatuh di atas tangki minyaknya. Manakala di lubang telinganya pula keluar lelehan darah dan nanah. Halil menarik nafasnya dalam-dalam.

Meskipun perasaan takutnya itu semakin menebal, namun di dalam hatinya dia tidak putus-putus membaca ayat-ayat suci. Kira-kira 20 minit kemudian bayangan ngeri itu hilang dan seperti ada kuasa ghaib menghisap deraian ulat tadi. Segalanya kembali seperti sediakala. seolah tidak ada apa-apa yang berlaku. Dengan pantas, Halil terus menghidupkan enjin motorsikalnya dan meneruskan perjalanan dengan dada yang masih berdebar-debar. Namun, dia rasa sangat bersyukur kerana selamat sampai ke kampungnya.

Balik ke Kuala Lumpur, Halil terus menceritakan kisahnya disakat hantu penanggal itu kepada teman-teman serumahnya, tetapi ceritanya sia-sia. Mereka hanya menggelengkan kepala dan tertawa kecil seperti tidak percaya. Dia tidak salahkan mereka kerana selama ini dia sendiri tidak percayakan semua itu hinggalah dia sendiri yang terkena. Apapun pengalaman itu tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat

11 October 2010

Misteri Di Lebuhraya Karak

Beberapa tahun yang lepas, satu keluarga berbangsa melayu dalam perjalanan pulang ke Terengganu untuk menziarah saudara mara di kampung. Mereka semuanya berempat iaitu sepasang suami isteri dan dua anak perempuan mereka. Mungkin ingin mengelakkan jalan yang sibuk, mereka bertolak agak lewat dan sesampainya di Tol Gombak, jam telahpun menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam.

“Bang, jangan bawak laju sangat bang, Ayu dengar kat area depan tu banyak accident tau,”
“Alah, abang tahu tapi kereta dah bikin cam ni mana boleh slow, kenalah lenjan habis, heh”, balas Hamid.

Sementara mereka berdua sibuk berbual, anak-anak mereka telah pun lena tidur di belakang. Ayu cuba menahan dari tertidur untuk berbual dengan suaminya agar tidak merasa mengantuk jika memandu sendiri. Ketika sedang asyik berbual tiba-tiba kedengaran bunyi rempuhan.

“Ah, sudah apa yang kita terlanggar tadi?”
“Bang, try check entah-entah kita terlanggar orang melintas ke, susah kita dibuatnya bang” kata Ayu kepada suaminya.

Akur dengan kehendak isterinya, Hamid memberhentikan keretanya di bahu jalan. Hamid keluar dari kereta dan cuba meninjau jalan yang telah dilaluinya tadi tetapi gagal menjumpai apa-apa. Hamid mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanannya, tetapi entah mengapa enjin keretanya tidak dapat dihidupkan.

“Eh…pelik tadi ok je, orang nak cepat dia buat hal pulak!”bentak Hamid.
“Kenapa bang?…rosak ke, trylah tengok-tengokkan enjin tu”, balas Ayu.

Apabila bonet depan dibuka, Hamid dapati keretanya kekurangan air. Hamid menyumpah-nyumpah dirinya kerana kecuaiannya menyebabkan mereka sekeluarga tersangkut di tengah-tengah Lebuhraya Karak. Memikirkan kemungkinan ada anak sungai berhampiran, Hamid mencapai botol dari dalam kereta dan berjalan seorang diri dalam kegelapan malam. Sebelum itu sempat dipesan kepada isterinya agar semua pintu dikunci dan jangan melayan jika ada orang selain darinya yang datang.

Sambil berjalan, Hamid menyumpah-nyumpah dalam hati. Kemarahannya reda bila mendapati ada cahaya di depannya, lantas dia menuju ke arah tersebut. Cahaya tersebut adalah bayangan cahaya bulan pada air sungai, tanpa berlengah Hamid memenuhkan air ke dalam botol yang dibawanya. Keadaan di sekeliling sungai sepi, hanya sesekali desiran angin malam membuatkan tubuh Hamid menggeletar kesejukan.

Ketika sedang mengambil air Hamid memandang sekelilingnya, hanya pohon-pohon tua yang berbentuk ganjil,besar,tinggi dan kelihatan menakutkan. Dan ketika itu pandangan Hamid tertumpu pada sebatang pohon tua yang berada di hadapannya. Lamunannya tersentak bila dia mendapati ada sesuatu yang bergerak di balik pokok. Hamid mula mengundurkan diri, memikirkan kemungkinan ianya binatang buas. Tetapi sangkaannya meleset bila perlahan-lahan ada sekujur tubuh di tutup kain putih keluar dari balik pokok.

Tanpa menanti botol penuh Hamid segera mengangkat kaki sambil mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Kursi. Ketika berlari pendengarannya dikejutkan dengan suara perempuan menjerit keras, diikuti dengan raung tangis berpanjangan. Sinar rembulan membantunya melihat dengan jelas akar-akar pokok yang berselirat agar tidak tersungkur. Sesampai di kereta isterinya terkejut melihat suaminya yang ketakutan.Terketar-ketar Hamid cuba menyatakan sesuatu.

Dengan cepat Hamid mengisi air dan terus menghidupkan enjinnya. Ketika hendak meneruskan perjalanannya, sempat dia menjeling pada cermin pandang belakang dan alangkah terkejutnya Hamid bila mendapati tubuh berbalut kain putih tadi berada di belakang keretanya tetapi kali ini Hamid dapat melihat dengan jelas mukanya. Kulitnya kering kontang, berkeriput dan biji matanya tersembul keluar.

Ketika itu juga hidungnya dapat menangkap bau busuk seperti mayat yang terbiar. “Ayu, jangan pandang belakang”, kata Hamid mengingatkan isterinya. Walaupun Hamid menekan habis minyak tetapi dirasakan keretanya bergerak terlalu perlahan dan makhluk yang mengejarnya telahpun berada di sebelah kanannya. Isterinya telah pun pitam bila memandang makhluk tersebut. Kini hanya tinggal Hamid seorang menghadapi makhluk tersebut.

Keesokan harinya terpapar di dada akhbar sekeluarga maut ketika dalam perjalanan pulang ke Terengganu. Keretanya terperosok ke dalam sungai yang letaknya sejauh 1 kilometer dari bahu jalan!! Sehingga kini bagaimana kereta tersebut boleh terbabas sejauh itu masih menjadi misteri yang belum bertemu jawapannya.